[VIDEO] “Buat Asam Keping Sendiri, Buah Tu Siap Timbang Sebab Nak Berlaku Adil” Dah Lama Tak Dapat Jumpa, Bapa Ini Usaha Bungkus Buah-Buahan Hantar Kepada Anak-Anak Dan Cucu Yang Jauh
Pernah dengar ungkapan kasih ibu sampai ke syurga, kasih bapa selama-lamanya? Mungkin bagi sesetengah daripada kita, memori bersama seorang bapa tidak sekuat dan sebanyak bersama dengan ibu.
Namun, apabila kita mulai besar dan dewasa, barulah kita perasan bahawa bapa kita lebih kepada segala urusan belakang tabir seperti mencari wang untuk menunaikan segala impian dan membesarkan kita.
Agak jarang untuk seorang bapa menunjukkan sisi ekspresif dirinya seperti mengungkapkan kata sayang dengan kata-kata dan sebagainya. Namun, sekali dia menunjukkannya, pasti ia akan menimbulkan sebak dan rasa terharu dalam diri kita.
BUNGKUS BUAH BUAT ANAK-ANAK
Baru-baru ini tular sebuah video yang pastinya akan membuatkan anda bergenang air mata mengenai kasihnya seorang bapa terhadap anak-anak. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah terlalu lama berlangsung sedikit sebanyak telah menyebabkan si bapa dan anak-anak sudah lama tidak dapat bertemu.
Begitulah apa yang dikongsikan oleh seorang pengguna Tiktok yang dikenali sebagai @shopeekaa dimana dia berkongsikan sebuah video bapanya yang sedang membungkus buah-buahan untuk anak-anaknya yang lain.
Sudah lama bapanya itu tidak berjumpa dengan anak-anaknya. Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini pun tidak dapat disambut bersama. Pastinya kerinduan yang ditanggung sudah tidak terkata lagi.
Ditambah pula sekarang ini tibanya musim buah-buahan. Mungkin biasanya mereka sekeluarga dapat menikmati buah-buahan bersama-sama di kampung. Namun tidak untuk kali ini.
Jadi, si bapa mengambil keputusan untuk membungkus buah-buahan yang ada untuk dihnatar kepada anak-anak yang berada jauh daripadanya bagi membolehkan anak-anak dan cucu-cucu untuk menikmatinya.
SANGGUP TIMBANG UNTUK BERLAKU ADIL
Itu jugalah apa yang dikongsi oleh Shopeekaa dimana dia menunjukkan bapanya itu sendiri yang membungkus buah-buahan dan juga asam keping untuk adik beradiknya yang sudah lama tidak dapat pulang ke kampung.
Bukan itu sahaja, bapanya juga telah mengutip sendiri semua buah yang ada dan menimbang setiap satu kotak buat tersebut agar ia adil untuk kesemua anak-anak dan cucu-cucunya.
Asam keping yang ingin dihantarnya juga telah dikeringkan sendiri dan telah dibungkus untuk dihantar bersama-sama dengan buah tersebut.
VIDEO :
WARGANET BERASA SEBAK
Menjengah ke ruangan komen, ramai sebenarnya yang berasa sebak dengan video yang dikongsikan itu. Bagi mereka, begitulah bapa. Saat dia menzahirkan kasih dan sayangnya, pasti mata yang melihat akan turut berkaca.
Ada juga yang berkongsi pengalaman mereka sendiri di mana ibu dan bapa mereka turut melakukan perkara yang sama buat mereka.
Begitulah kasih seorang bapa. Buat kita yang masih lagi mempunyai bapa, hargailah mereka. Benar mereka tidak pandai untuk menzahirkan kasih sayang sebagaimana seorang ibu namun ketahuilah mereka sanggup untuk mengorbankan apa sahaja demi kita.
Buat anda yang sudah kehilangan bapa, titipkanlah doa buat mereka.
SUMBER : Akses Info, TIKTOK @shopeekaa