“Doakan Kak Anis Boleh Tengok Dekat Syurga Ye” Tak Pernah Tengok Muka Sesiapa Pun, Kak Anis Rindu Nak Tengok Muka Mak Ayah, Adik Beradik, Anak-Anak Dan Suami

0 772

Cabaran di waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini benar-benar memberikan kesan kepada kita semua. Dalam kita yang serba sempurna anggota badan pun sudah terkesan, apatah lagi mereka yang diuji oleh Allah S.W.T dengan keupayaan yang terhad.

Namun, berbeza pula halnya dengan seorang wanita hebat ini yang mulai tular baru-baru ini. Menerusi akaun Tiktok @anisa_samsudin, dia yang mengalami masalah penglihatan benar-benar telah membuka mata kita yang sempurna ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa dirinya sangat hebat dan sangat luar biasa. Sekalipun dirinya memiliki kekurangan berbanding insan yang lain, namun Allah S.W.T telah menggantikan dengan beberapa kelebihan lain yang tidak kita miliki.

 

GIGIH MENERUSKAN KEHIDUPAN

Kekurangan yang dialaminya bukanlah alasan mahupun penghalang buat dirinya untuk terus berusaha mencari rezeki yang halal. Semuanya dilakukan demi meneruskan kelangsungan hidup.

Dia yang mesra disapa sebagai Kak Anis itu ada berkongsi mengenai apa sebenarnya yang berlaku kepada diri dan hidupnya sehingga dia diuji sedemikian oleh Allah S.W.T menerusi beberapa video di akaun Tiktok miliknya.

 

VIDEO :

 

Semuanya bermula sewaktu dia berusia 9 bulan. Pada ketika itu dia telah didiagnosis dengan kanser mata namun kerana terlambat untuk dirujuk ke hospital, doktor mencadangkan agar pembedahan dilakukan pada sebelah matanya sahaja.

Siapa sangka tidak lama kemudian mata sebelahnya lagi pula telah berjangkit sehingga menyebabkan sewaktu usianya baru menginjak 10 bulan, dia telah menjadi buat sepenuhnya.

 

TIDAK PERNAH PUTUS ASA

Sekalipun hidupnya diuji sedemikian, dia tetap kuat dan tidak pernah patah semangat. Boleh lihat di akaun media sosial miliknya di mana dia kerap melakukan live untuk mempromosikan barang-barang yang dijualnya.

Apa yang menarik lagi adalah rakyat Malaysia sendiri yang sangat supportive dimana mereka yang senasib dengan Kak Anis pasti akan dibantu semampu mereka. Betapa bertuahnya kita untuk hidup dalam kalangan masyarakat yang berhati murni sebegini.

Macam-macam barang dipromosikan oleh Kak Anis. Gayanya yang santai dan bersahaja sekalipun dirinya mempunyai kekurangan membuatkan orang ramai tetap suka dan setia untuk menonton.

Dia juga mempunyai keupayaan untuk berkomunikasi dan menjual dengan baik sekaligus menimbulkan rasa kagum pada semua mata yang melihat. Kak Anis juga sangat ramah dan tidak kisah untuk menjawab sebarang soalan yang diajukan kepadanya.

Ada beberapa soalan yang menimbulkan rasa sebak kami dan kami ingin kongsikan videonya di bawah ini.

 

“Contoh kalau Allah S.W.T bagi Kak Anis nampak, apa Kak Anis akan buat?”

Inilah diantara soalan yang sangat menyentuh hati. Benar, kita sendiri pun pastinya tertanya-tanya apa yang akan dilakukan jika dia diberi kesembuhan oleh Allah S.W.T.

 

VIDEO :

 

“Kak Anis akan tengok muka semua family Kak Anis termasuk mak ayah Kak Anis adik-beradik Kak Anis, anak-anak dan suami Kak Anis.

“Sebab Kak Anis rindu sangat nak tengok muka dorang, sebab kak Anis tak pernah tengok pun muka siapa-siapa pun,” ujarnya.

Namun baginya, impian tersebut seolah-olah agak mustahil kerana pihak doktor menyatakan kepadanya yang saraf matanya telah rosak sepenuhnya.

“Tapi kalau nak ikutkan kata doktor, Kak Anis takde harapan untuk melihat semula sebab mata Kak Anis dah rosak habis. Saraf Kak Anis dah rosak juga.

“Jadi, ada penderma doktor nak derma mata kat Kak Anis, tapi doktor kata memang tak boleh, tak sesuai dan tak boleh. Doakan Kak Anis boleh tengok dekat syurga” katanya.

 

BACA JUGA : “Saya Menjual Tisu Dan Facemask” Sebak Tengok Ibu Muda Gigih Buat Jualan Tepi Jalan Sambil Pegang Sepanduk. Baby Dalam Stroller Setia Teman Ibu Kerja

 

WARGANET SEBAK TAPI SANGAT KAGUM

Menjengah ke ruangan komen setiap video yang dikongsikan oleh Kak Anis, ternyata warganet sekalipun berasa sebak dan simpati dengan nasib yang menimpanya, mereka tetap berasa kagum kerana dia tetap kuat dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

Hampir semuanya menitipkan doa dan kata-kata semangat buat Kak Anis agar terus kuat untuk meneruskan kehidupan dan ada juga yang mendoakan agar ada keajaiban supaya Kak Anis diberikan kesembuhan.

Kak Anis yang diuji hebat sebegini pun masih tetap kuat untuk berusaha, apa lagi alasan yang kita ada untuk berputus asa? Sama-samalah kita jadikan kisah Kak Anis ini sebagai inspirasi buat kita.

 

SUMBER : Akses Info,  TIKTOK @anisa_samsudin

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.