Disangka Pengemis Dan Orang Gila, Jutawan Ni Wakafkan Harta Bernilai RM151 Juta Untuk Kita Semua!
Ramai yang ingin menjadi kaya. Ingin punya wang dan harta yang melimpah ruah. Keinginan untuk menikmati kebebasan kewangan akan membuatkan kita semua sanggup berusaha sehabis daya untuk kaya dan berjaya.
Kita juga selalu berkata apabila kita kaya nanti, kita akan bersedekah sebanyak mungkin untuk agama. Namun, nilai sedekah kita itu pastinya jauh lebih rendah daripada jumlah nilai kekayaan yang kita ada.
Kita pasti akan sentiasa berkira-kira untuk bersedekah atau berwakaf bagi agama. Jika ada yang bertanya pada kita sekarang ini, sanggup atau tidak untuk kita wakafkan kesemua harta kita kepada jalan Allah S.W.T, adakah kita sanggup?
Berbeza pula dalam kisah seorang jutawan yang teramat zuhud ini. Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy merupakan seorang jutawan yang telah mewakafkan seluruh harta beliau untuk ummah. Beliau yang dilahirkan pada tahun 1907 di Gujerat, India ini merupakan seorang yang telah lama berkecimpung dalam bidang perniagaan sebaik sahaja beliau tiba di Malaysia sekitar tahun 1940.
Pada awalnya, beliau merupakan seorang saudagar kain. Kemudian, beliau mengumpul kekayaan hartanah dan juga saham.
DARI AWAL LAGI TELAH MENGINFAQKAN HARTA
Menariknya mengenai beliau adalah, beliau sedari awal lagi telah menginfaqkan hartanya menerusi institusi wakaf. Wakaf ini pada asalnya merupakan sebuah wakaf keluarga namun telah dinamakan semula kepada Alwaqful Islamiul Alamee yang mana surat cara penubuhan institusi wakaf ini telah diedarkan pada sekitar tahun 1971.
DISANGKA PENGEMIS DAN ORANG GILA
Menerusi penampilannya yang sangat bersahaja, orang ramai tidak dapat mengelak daripada memandang serong terhadap beliau. Ada yang menganggap beliau adalah seorang pengemis dan tak kurang juga yang menganggapnya sebagai orang gila. Hal ini kerana dia berpakaian serba ringkas dan sederhana serta beliau terlalu kerap mengutip sampah.
Beliau juga hidup berseorangan tanpa ahli keluarga dan juga teman hidup di sebuah flat sederhana. Apa yang menemani beliau adalah bahan bacaan seperti kitab, majalah dan buku sahaja. Minatnya dalam membaca dan terhadap ilmu ini telah membolehkan beliau untuk fasih dalam beberapa bahasa.
JUTAWAN DERMAWAN MILIKI LOT SAHAM JUTAAN DOLAR
Siapa sangka daripada penampilannya yang sangat bersahaja itu, beliau sebenarnya merupakan seorang jutawan yang dermawan. Beliau telah mewakafkan keseluruhan hartanya yang berupa sebidang tanah seluas 1.2 ekar di Jalan Perak.
Selain itu, beliau turut memiliki lot saham yang mempunyai nilai jutaan dolar di Bursa Saham London dan turut memiliki beberapa bursa saham yang lain.
DIBANGUNKAN MENARA WAKAF BANK ISLAM
Tanah tersebut yang diwakafkan di Jalan Perak, Kuala Lumpur telah dibangunkan untuk menjadi sebuah menara wakaf yang mempunyai ketinggian 34 tingkat. Bangunan ini telah dibina dengan kos sebanyak RM151 juta. Modal dikeluarkan oleh Tabung Haji pada tahun 2007.
Bangunan ini telah disewakan sebagai pejabat Kelas A. Disebabkan oleh lokasinya yang tidak jauh daripada KLCC, kawasan tempat letak kenderaannya telah ditutup pada hari Jumaat bagi membolehkan orang di sekitar menunaikan solat Jumaat tanpa perlu untuk berjalan terlalu jauh ke Masjid KLCC.
PEMEGANG AMANAH MENERIMA RM56.6 JUTA SELAMA 25 TAHUN
Selain itu, turut dikhabarkan bahawa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai pemegang amanah harta wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy ini akan menerima RM56.6 juta hasil sewaan bangunan ini selama 25 tahun.
Pada tanggal 24 Januari 1987, jutawan dermawan yang sangat zuhud ini telah meninggal dunia di sebuah rumah flat kecil di Jalan Masjid India. Beliau hanya dikelilingi oleh buku-buku bacaan beliau. Tiada harta lain lagi yang dapat dilihat bersama beliau melainkan itu sahaja. Selebihnya beliau sudah wakafkan kesemuanya untuk ummah.
Berbeza pula dengan situasi masyarakat pada hari ini. Kebanyakan dari kita berasa terlalu sayang dengan harta yang ada sehingga berkira-kira untuk bersedekah atau berwakaf bagi tujuan agama. Firman Allah S.W.T:
إِنَّ الْمُصَّدِّقِينَ وَالْمُصَّدِّقَاتِ وَأَقْرَضُوا اللَّهَ قَرْضاً حَسَناً يُضَاعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌ كَرِيمٌ
Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid: 18)
Ada juga yang baru kaya sedikit tapi dah terlebih dalam menayangkan harta kekayaan mereka. Benarlah bahawa harta dan kekayaan ini akan sentiasa menjadi ujian buat manusia. Miskin itu satu ujian dan kaya juga merupakan ujian. Firman Allah S.W.T:
إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Yang bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik).
Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah: 271)
Sumber : Akses Info