Tak Dapat Kebenaran Rentas Daerah, Lelaki Nekad Terjun Laut Ke Seberang Sebelum Diselamatkan Petugas. “Dia Patah Balik, Kemudian Terapung Sebab Tak Larat Sangat”
Kalau dengar daripada tajuk, ia seakan-akan satu tindakan gila. Namun, dalam keadaan yang serba menekan ini, tidak mustahil untuk ia dilakukan. Tidak mustahil juga jika di kemudian hari akan ada lebih ramai yang bertindak gila sebegini.
Menurut sumber, dalam kejadian yang berlaku di George Town itu, lelaki berkenaan dikatakan ingin bertemu dengan rakannya. Disebabkan gagal untuk mendapatkan kebenaran merentas daerah, dia nekad untuk berenang.
Renangannya itu daripada jeti feri di Tanjung City Marina merentas Selat Pulau Pinang untuk menuju ke Seberang Perai. Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, lelaki berusia 28 tahun itu berbuat demikian selepas gagal mendapatkan kelulusan rentas daerah daripada polis kerana tiada alasan munasabah.
PENAT DAN BERPATAH BALIK
Tambah Soffian lagi, lelaki itu bagaimanapun telah berpatah balik menghala ke jeti. Hal ini kerana dia telah keletihan sebelum berjaya diselamatkan oleh beberapa petugas Penang Port Sdn Bhd dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6 petang itu.
TIADA SEBARANG DOKUMEN PENGENALAN DIRI DITEMUKAN
Hasil siasatan juga menemukan beberapa perkara yang mencurigakan mengenai lelaki berkenaan dan mereka juga berjaya untuk mengetahui sebab dan siapa dirinya yang sebenar.
VIDEO :
“Berdasarkan temu bual yang dijalankan, lelaki berkenaan memberitahu dia nekad untuk berenang ke Seberang Perai kerana mahu berjumpa rakannya selepas gagal mendapatkan kelulusan permit rentas daerah dari pihak polis.
“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada lelaki berkenaan, sebaliknya dia hanya menyatakan butiran peribadi seperti nama dan nombor kad pengenalan secara lisan sahaja.
“Semakan dibuat mendapati lelaki itu berasal dari Bayan Lepas Pulau Pinang dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
SUDAH LAMA TIDAK PULANG KE RUMAH
Soffian berkata lagi, pihak polis telah berjaya untuk menghubungi ibu lelaki tersebut dan dia memberitahu bahawa anaknya itu sudah lama tidak pulang ke rumah. Dia juga dipercayai hidup sebagai gelandangan selain turut mempunyai masalah ketagihan dadah.
Katanya, lelaki itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu telah mengalami kecederaan patah tangan kanan. Soffian berkata, hasil siasatan lanjut berhubung insiden itu akan dilakukan selepas lelaki berkenaan selesai menjalani rawatan dan dibenarkan keluar dari hospital.
VIDEO :
VIDEO DAN GAMBAR RENANGAN TULAR
Pada Rabu lalu, telah tular video dan beberapa keping gambar di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki yang dikatakan telah terjun dari feri kerana tidak dibenarkan menaiki feri disebabkan tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri.
Dia cuba untuk menyeberang lautan untuk menuju ke Seberang Perai. Namun, dia akhirnya hanya mampu terapung dalam keadaan lemah kemudian diselamatkan pekerja Penang Port Sdn Bhd.
WARGANET BERSIMPATI
Sekalipun dia mempunyai masalah ketagihan dadah, ramai warganet yang meminta agar kita semua tidak terlalu menghukum kerana kita sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku sehingga dia menjadi begitu.
Sama-samalah kita menjadi lebih peka dan prihatin akan nasib yang menimpa mereka di sekeliling kita. Sekarang ini bukan masa untuk membuat lawak dan sebagainya akan nasib yang menimpa mereka. Semoga negara kita dapat kembali aman dan kita semua dapat hidup seperti biasa semula.
SUMBER : Akses Info, FB FB PENANG KINI & FB ASTRO AWANI