“Jangan Sampai Memaki. Hormat Keluarga Kami” Tular Video Dikecam Ramai, Lelaki Ini Dedahkan Kisah Sebenar Yang Berlaku

0 1,256

Zaman sekarang ini semakin ramai yang tindakannya lebih laju tangan daripada otak. Maksudnya, lebih laju menaip komen tanpa berfikir samada betul atau tidak apa yang ditaip sehingga mengundang fitnah dan kecaman.

Itulah apa yang berlaku terhadap sebuah video tular dimana sebuah keluarga ini memeluk cium bapa yang sudah berusia dan disahkan positif Covid-19. Dalam video tersebut, bapanya telah diambil oleh ambulans untuk dibawa ke pusat rawatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Netizen terlalu laju mengecam tanpa mengetahui kisah sebenar disebalik apa yang berlaku. Begitulah rayuan seorang lelaki yang merupakan anak kepada pesakit tersebut terhadap netizen supaya berhenti mengecam dia dan keluarganya.

 

SATU KELUARGA POSITIF COVID-19

Dalam video tersebut, Mohd Shuhazlan Ali, 45, dan ahli keluarganya telah menghantar bapanya yang positif Covid-19 menaiki ambulans. Ambulans tersebut telah datang mengambil bapanya dirumah mereka di Port Dickson.

Kenapa mereka sekeluarga berani menyentuh bapa mereka sehingga bersalam, memeluk cium adalah kerana mereka sekeluarga juga turut positif Covid-19. 

“Kami sekeluarga di rumah seramai enam orang iaitu ayah dan emak, saya, adik ipar dan anak saudara berusia 11 tahun disahkan positif Covid-19.

“Tapi disebabkan ayah saya berusia lebih 60 tahun dan ada penyakit d4rah tinggi serta kenc1ng manis dia telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban untuk pemantauan rapi,” katanya.

Menurutnya lagi, sejak daripada hari raya pertama mereka sekeluarga telah kuarantin kendiri di rumah dan mengikut arahan hospital. Dia turut menyatakan rasa kecewa apabila ada yang mengatakan dia sekeluarga seperti mahu menghantar bapanya pergi makan angin.

 

TAK MAHU BAPA RISAU

“Siapa tak sedih bila ahli keluarga lebih-lebih lagi bapa sendiri diangkut dengan ambulans di rumah kerana Covid-19. Tapi kami tak nak menghantar ayah dalam keadaan sedih kerana tak mahu dia risau keadaan kami di rumah yang juga positif Covid-19,” katanya.

Dia juga sangat berharap agar masyarakat sepatutnya terus memberi sokongan moral dan mendoakan dia sekeluarga kerana penyakit Covid-19 ini bukanlah perkara main-main dan boleh diambil mudah.

Dia turut berasa sangat kesal apabila ada dalam kalangan netizen yang turut mereka cerita dengan mengatakan ayah dan anak saudaranya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU).

“Sampai begitu sekali kami dikecam dan ada yang kata kami ini keluarga bengong dan bodoh. Mula-mula saya memang tak ambil kisah, tapi saya tengok makin melampau sedangkan mereka tak tahu cerita sebenar,” katanya.

Ditanya berkenaan keadaan kesihatan bapanya, Mohd Shuhazlan berkata, bapanya berada dalam keadaan baik dan dijangka dapat keluar dari hospital Jumaat ini. Sehubungan itu, dia berharap videonya itu tidak lagi dijadikan isu.

 

WARGANET TURUT BERSIMPATI

Ramai dalam kalangan warganet turut menyuarakan sokongan mereka terhadap keluarga ini dan meminta orang ramai untuk tidak lagi mengecam dan meninggalkan komen terlalu laju tanpa berfikir panjang. Ada juga yang mengatakan rasa kecewa dengan sikap dan sifat rakyat Malaysia yang sangat menyedihkan ini.

Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman bergelar pesakit Covid-19 dimana mereka teruk dikecam oleh masyarakat sekeliling dengan bermacam gelaran sekalipun belum jelas lagi bahawa mereka memang benar-benar positif.

 

BACA JUGA : “Mereka Susah Tapi Tak Pernah Mengemis” Kagum Tengok 3 Beranak OKU Ni Gigih Usaha Cari Rezeki Jual Tisu. Sebak Tengok Yang Bongsu

 

Ada yang bersetuju dengan tindakan keluarga ini yang tidak menghantar bapa mereka dalam keadaan sedih kerana risau akan mengganggu kesihatan mental pesakit.

Sebenarnya masing-masing ada buat salah dalam hal ini. Dari pihak masyarakat, janganlah terlalu laju menghukum dan membuat andaian. Elakkan jari daripada menjadi lebih laju berbanding fikiran. Bimbang berlakunya fitnah.

Dari pihak keluarga ini pula, haruslah sedar bahawa masyarakat di Malaysia ini terlalu laju untuk mencari kesalahan. Jadi, elakkan daripada memuat naik sesuatu yang boleh menimbulkan kontroversi. Sekalipun tiada masalah sesama pesakit yang positif, pasti akan ada sahaja isu yang akan dinaikkan oleh masyarakat.

Sama-samalah kita doakan kebaikan buat semua pesakit Covid-19 dan doakan juga agar negara kita dapat segera bebas daripada masalah ini.

 

SUMBER : Akses Info, SINAR HARIAN

Leave A Reply

Your email address will not be published.