“Exam Sepatutnya Jam 10 Pagi, Lama Tunggu Tapi Soalannya Tetap Tak Ada” Guru Matematik M4ut Ketika Siapkan Soalan PdPR. Isteri Pelik Suami Tak Balik Rumah, Telefon Tak Dapat
Siapa sangka penantian 20 orang pelajar SMK Ghafar Baba, Masjid Tanah, Melaka untuk menjawab soalan matematik secara dalam talian memberikan mereka kejutan yang teramat sangat.
Guru yang dinanti, Norazha Baba, 57, ditemui telah meninggal dunia di atas sofa di kediamannya. Berita tersebut sangat-sangat mengejutkan ahli keluarga, pelajar dan para guru yang lain.
Arwah meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Lendu Ilmu. Pelajar-pelajar berkenaan telah dijadualkan untuk menjawab soalan pada jam 10 pagi namun arwah tetap tidak memuat naik soalan sekaligus menyebabkan mereka menghubungi guru yang lain.
GURU BERGEGAS KE RUMAHNYA
Menurut sumber terdekat, beberapa orang guru cuba untuk menghubungi telefon bimbit arwah namun ia tidak dijawab. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk segera ke kediaman arwah di sebuah kampung di Lendu.
Namun, isteri arwah memaklumkan bahawa arwah telah keluar rumah sejak petang semalam ke sebuah lagi rumah mereka. Rumah tersebut terletak di Taman Lendu Ilmu berhampiran dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah.
Sumber itu berkata lagi, kumpulan beberapa orang guru berkenaan telah mengesyaki pasti ada sesuatu yang berlaku lalu bergegas ke rumah berkenaan pada 12.30 tengah hari dan mendapati kereta guru itu berada di garaj dan pintu pagar berkunci.
GURU PANJAT PAGAR
“Mereka memanjat pagar sebelum memanggil arwah tetapi tiada jawapan dan mereka mendapati pintu gelongsor tidak berkunci dari dalam manakala jeriji pintu berkunci.
“Sebaik sahaja pintu gelongsor dibuka, mereka amat terkejut apabila melihat arwah kaku di atas sofa di ruang tamu sebelum menghubungi polis dan bomba,” katanya.
Difahamkan bahawa arwah sudah mengajar agak lama selama 15 tahun di sekolah berkenaan dan pemergian arwah telah meninggalkan seorang isteri serta seorang anak lelaki dan perempuan.
Difahamkan juga, isteri arwah memaklumkan bahawa arwah suaminya itu sering menyelesaikan kerja berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah taman berkenaan.
“Isteri arwah memaklumkan lazimnya arwah suaminya pulang pada sebelah malam selepas menyelesaikan kerja tetapi malam tadi arwah tidak balik dan usaha menghubungi telefon bimbitnya tidak berhasil,” kata sumber itu.
TERPAKSA MEMECAHKAN JERIJI
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba, Soon We Kiang, Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah telah menerima panggilan pada jam 12.40 tengah hari dan enam anggota telah dihantar ke rumah berkenaan.
“Anggota bomba terpaksa memecahkan kunci jeriji sebelum menemukan seorang lelaki yang sudah meninggal dunia dalam keadaan duduk di atas sofa di ruang tamu,” katanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, anggota polis menunggu Pembantu Perubatan Hospital Alor Gajah yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) memeriksa mayat mangsa sebelum membawanya ke hospital berkenaan.
“Kami masih menunggu laporan bedah siasat dan keputusan ujian calit jenazah berkenaan yang dijangka diperoleh esok,” katanya.
Setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi punca kematian mangsa.
PIHAK SEKOLAH TURUT BERDUKA
Menerusi akaun Facebook sekolah tersebut, mereka turut memuat naik berita mengenai pemergian arwah.
Ramai juga anak-anak murid arwah yang bercerita akan kebaikan arwah sepanjang belajar dengannya.
Begitu juga luahan dan titipan doa daripada rakan-rakan seperjuangan arwah.
Sama-samalah kita doakan kebaikan buat arwah dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
SUMBER : Akses Info, HARIAN METRO, FB SMK GHFAR BABA